Wednesday, September 9, 2009

Apa Itu BDA?

.
Persatuan Pereka Bumiputra yang juga dikenali sebagai Bumiputra Designers Association (BDA) telah didaftarkan pada 13 Disember 2006. Tertubuhnya BDA yang mempunyai program-program untuk meningkatkan potensi rekaan seni dan latihan praktikal. Ianya berfungsi sebagai pemangkin untuk memberi bimbingan kepada mereka yang terbabit dengan dunia seni, kepentingan motivasi, psikologi dan terapi agar ianya dapat dilakukan mengikut kemampuan dan kepakaran dalam bidang yang diceburi.

Disamping bimbingan ini, mereka juga berpeluang untuk mendapatkan nasihat guaman dan juga mengikuti bengkel-bengkel pengurusan perniagaan agar bidang yang diceburi nanti dapat di kategorikan sebagai "profesional". Ini amat penting kerana tahap "profesional" dalam bidang seni yang diceburi dapat meninggikan taraf kehidupan mereka. BDA mementingkan ahli-ahlinya bukan untuk mendapatkan taraf "profesional" dari sudut akademi sahaja tetapi pemikiran dan kerjasama di antara satu sama lain haruslah di amalkan walaupun ianya dari bidang seni yang berlainan agar tidak diperlekehkan oleh pihak yang suka mengambil kesempatan dari hasil ciptaan seni ahli-ahli.

BDA adalah satu persatuan yang harus diketengahkan kerana ianya adalah pemangkin kepada masa depan dan tanggungjawab untuk memastikan taraf kehidupan anak seni Melayu dapat dipertingkatkan. Sudah tiba masanya untuk diwujudkan kesatuan yang padu agar seni, warisan dan budaya Melayu yang diperdagangkan mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi, insyaAllah.
.